Tangan bayi 7 hari putus digigit anjing peliharaan!


Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan keluarganya di Bachang, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian jam 8.30 pagi pada Selasa lalu, ketika bayi berkenaan dijaga ibu saudaranya di rumahnya itu.

Ketika kejadian, wanita terbabit membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah untuk dikenakan cahaya matahari bagi mengurangkan gejala penyakit demam kuning.

"Bayi itu baru sahaja diberi susu oleh ibunya yang masih berpantang dan ditemani suami yang sedang berehat di tingkat atas rumah.

"Ketika hendak memandikan bayi berkenaan, ibu saudara meletakkan bayi itu seperti biasa di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat untuk dikenakan cahaya matahari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, wanita itu kemudian meninggalkan bayi seketika untuk mengambil air mandian.

Apabila kembali semula ke pintu, wanita itu terkejut apabila melihat tangan kanan bayi itu sedang digigit seekor daripada anjing peliharaan suaminya.

"Dalam keadaan panik itu dia melihat anjing berkenaan menggigit tangan kanan bayi di luar pagar diikuti tangisan kuat bayi yang berlumuran darah," katanya.

Susulan keadaan itu, wanita berkenaan menjerit sekuat hati, sekali gus mengejutkan ahli keluarga yang lain.

Ahli keluarga yang panik, terus membawa bayi terbabit ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pihak hospital meminta bayi itu dirujuk ke Hospital Melaka.

"Bayi malang itu ditempatkan di zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan doktor pakar. Ketika ini, bayi itu sedang menjalani pembedahan," katanya.

Anjing jenis plott hound yang dikatakan menggigit.
Mohd Nor Yhazid berkata, anjing milik suami wanita berkenaan dipercayai jenis 'plott hound' dan didapati dibiarkan tanpa diikat atau dikurung di kawasan rumah bagi tujuan menjaga kawasan kediaman.

"Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah menangkap haiwan berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001/289 Kanun Keseksaan," katanya.

Panik melihat keadaan bayi itu, ahli keluarganya bergegas mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Terkini, Bayi malang itu ditempatkan di zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan doktor pakar. Ketika ini, bayi itu sedang menjalani pembedahan.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menangkap anjing jenis ‘plott hound’ yang didapati tidak diikat atau dikurung.

Sumber : bharian

Post a comment

0 Comments