"Pengasuh anak seorang penagih dadah tegar"


Seorang wanita dekat sini tidak menyangka pasangan suami isteri yang mengasuh anaknya sejak lapan bulan lalu rupa-rupanya penagih dadah.

Perkara itu hanya terbongkar selepas pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu menghubunginya memaklumkan anak lelakinya berusia empat tahun yang diasuh pasangan itu turut dibawa ke pejabat AADK berikutan penahanan suami isteri berkenaan di rumah mereka di Taman Mahsuri, di sini semalam.

Pasangan itu ditahan jam 3 petang semalam dan ketika ditahan, mereka berada dalam rumah bersama dua anak berusia lapan dan lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

Pasangan berkenaan bersama tiga kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu untuk tindakan lanjut sebelum dua anak mereka diserahkan kepada keluarga terdekat manakala kanak-kanak lelaki yang diasuh itu diserahkan kembali kepada ibunya.

Wanita berusia 41 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Nor berkata, dia mengenali pengasuh anaknya itu agak lama kerana tinggal berjiran dengan rumah ibunya.

Katanya, dia bekerja dengan sebuah agensi swasta di Kuala Nerang manakala suaminya bekerja di Perak.

"Saya terkejut dan tak sangka sebab bila tengok keadaan rumahnya memang bersih dan anak saya pula dijaga dengan baik.

"Saya tak syak apa-apa sebelum ini walaupun dia kerap pinjam duit sebab nak guna mungkin beli dadah. Saya bayar dia RM250 sebulan untuk jaga anak," katanya ketika ditemui di pejabat AADK, semalam.


Sementara itu, ujian saringan awal terhadap pengasuh wanita dan suaminya yang masing-masing berusia 33 tahun itu mendapati mereka positif methapetamine.

Pengasuh itu mendakwa, dia mengambil dadah selepas dipaksa suaminya yang juga penagih tegar.

"Lepas ini saya akan cuba berhenti kerana ini kali pertama saya ditahan AADK dan tak pernah lagi kena tangkap.

"Sebelum ini kami menetap di Kuala Lumpur dan suami sudah ambil dadah sejak di sana sebelum kami ambil keputusan untuk pulang ke sini untuk berubah tapi tak boleh sebab abang saya pun turut terbabit dengan dadah," katanya.

Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Mohd Rizal Tawil mengesahkan penahanan pasangan suami isteri itu semalam.


Beliau berkata, mereka dibawa ke pejabat AADK Kubang Pasu untuk diambil keterangan dan siasatan masih dijalankan.

"Mereka adalah antara 12 penagih yang ditahan dalam Op Cegah yang dijalankan di sekitar daerah Kubang Pasu yang kita tahan dari rumah ke rumah.

"Operasi ini akan berterusan untuk membanteras kegiatan penagihan dadah terutama yang masih tegar," katanya.



Sumber : bharian

Post a comment

0 Comments