Pasangan kembar OKU rajin bekerja kumpul duit untuk masa depan!


Sepasang pemuda kembar yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down menjadi kebanggaan keluarga apabila mereka mampu berdikari dengan menjalani rutin harian seperti orang lain.

Kekurangan itu bukan penghalang bagi Muhammad Yusuf Mahadi dan Muhammad Yunus Mahadi yang kini berusia 28 tahun untuk melakukan aktiviti demi kelangsungan masa depan mereka.

Ibu pasangan adik-beradik itu, Saidatul Asmah Ismail, 53, berkata, keupayaan Muhammad Yusuf dan Muhammad Yunus adalah suatu anugerah Tuhan apabila banyak perubahan berlaku dalam kehidupan anak kembarnya itu selepas menyertai Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Unit Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Kata wanita itu lagi, pada mulanya dia hampir putus asa jika memikirkan masa depan anak kembarnya itu namun dengan adanya program tersebut kini dia dan suami merasa lega kerana banyak ilmu yang dipelajari oleh Muhammad Yusuf dan Muhammad Yunus sehingga mereka berubah.



"Alhamdulillah, program ini banyak membantu mereka belajar, sementelahan lagi penyelia mereka sangat sabar dengan telatah anak-anak saya. Melalui program ini mereka diajar bercucuk tanam seperti menyemai anak pokok, menyiram tanaman, mengisi baja serta mengutip hasil tanaman sayur-sayuran.

"Alhamdulillah mereka diberikan upah. Saya menyimpan wang mereka untuk keperluan kedua-duanya. Mereka juga mempunyai keinginan seperti orang lain tetapi biasanya akan bertanya jika mahu membeli sesuatu," katanya.

Setiap hari, Muhammad Yusuf dan Muhammad Yunus akan keluar bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di kebun Rumah Seri Kenangan, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di sini.



Sementara itu, Penyelaras Unit Transformasi OKU USM, Dr Mohd Zulkifli Daud Abdul Rahim berkata, pasangan kembar itu antara peserta terawal bagi program berkenaan yang telah berjaya.

"Muhammad Yusuf dan Muhammad Yunus adalah peserta yang bekerja melalui program Bengkel Terlindung iaitu latihan pekerjaan untuk anak-anak istimewa yang sudah dikenal pasti kemampuannya dalam bidang tanaman bagi memberi peluang mencari pendapatan sendiri.

"Kami berharap selepas ini ibu bapa yang mempunyai anak yang mempunyai masalah sama seperti Muhammad Yusuf dan Muhammad Yunus boleh merujuk kepada pihak kami.

"Kita perlu fikirkan masa depan mereka. Insya-ALLAH ada cara untuk bantu mereka kerana mereka juga perlu hidup seperti orang lain tetapi dengan cara sendiri. Apa yang penting, kami sediakan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan mereka dapat berdikari selepas tamat latihan dan sebagainya," kata beliau.



Sumber : sinarharian

Post a comment

0 Comments