“Dah 2 tahun mereka tak tinggal bersama kami” - Yusof Haslam

  

Rumah tangga pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana didakwa berantakan selepas kedua-duanya dilihat muncul di pejabat agama.

Mengulas isu tersebut, bapa pengarah filem itu Datuk Yusof Haslam enggan mencampuri urusan peribadi mereka.

Menurut Yusof, dia tidak berhak memberi sebarang komen memandangkan pasangan itu tidak lagi tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu.

Doakan yang terbaik

Namun begitu Yusof berkata, dia dan isterinya iaitu Datin Fatimah Ismail sentiasa mendoakan yang terbaik buat anak dan menantunya itu.

“Saya tak tahu apa-apa mengenai rumah tangga mereka. Biarlah Syamsul dan Puteri Sarah sendiri yang beri kenyataan sebab saya tak boleh nak beri komen.

“Benda ini terlalu peribadi sebab melibatkan hal rumah tangga mereka. Lagipun, mereka berdua dah tidak tinggal bersama dengan saya sejak dua tahun lalu sebab mereka ada rumah sendiri.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya mendoakan yang terbaik untuk mereka berdua. Apa saja kemelut yang berlaku, saya dan isteri mendoakan agar mereka dapat selesaikan dengan baik,” kata Yusof.

Muncul di Pejabat Agama Islam

Yusof diminta mengulas mengenai dakwaan Puteri Sarah Liyana dilihat muncul di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada Jumaat lalu.

Sebelum ini Puteri Sarah dilihat mengenakan jubah dan bertudung hitam memasuki bahagian undang-undang keluarga ditemani seorang wanita yang dipercayai ibu mentuannya, Fatimah.

Walau bagaimanapun, ditanya mengenai tujuan mereka mengunjungi pejabat agama tersebut, Puteri Sarah hanya memilih untuk tidak mengulas mengenainya.
Unfollow Instagram

Menerusi laporan mStar pada Ahad, tinjauan mendapati Puteri Sarah juga sudah berhenti mengikuti atau sudah ‘unfollow’ akaun Instagram suaminya, namun Syamsul masih lagi mengikuti IG aktres itu.

Kedua-dua pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 3, serta Summayah.

Post a comment

0 Comments