'Saya sangat marah tengok orang jual filem saya RM1' - Penerbit filem bakal saman portal e-dagang RM50 juta

 

Penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh, bakal memfailkan saman terhadap pihak e-dagang popular sebanyak RM50 juta atas dakwaan menjual filem terbitan syarikatnya, Pencil Pictures and Records Sdn Bhd secara haram.

Ayu berkata, dia mula mengesan tindakan tidak bertanggungjaawb itu sejak 10 Jun lalu di Telegram.

"Sebaik mengetahuinya, saya terus buat aduan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan pihak Astro. Kemudian saya buat laporan polis.

"Namun selepas melihat tiada sebarang tindakan yang pantas, saya buat aduan semula kepada FINAS sebab hati saya sangat marah bila tengok orang jual filem saya dengan harga RM1.

"Dia (pihak terbabit) rasa hidup ini dia punya, jual filem saya RM1. Selama dua bulan, penjualan berkenaan berlangsung di platform e-dagang itu dan sekarang pandai pula mereka turunkan iklan dan filem saya.

"Tahu pula takut. Tapi semua bukti itu saya dah ada. Kalau pihak berkenaan turunkan pun, semua bukti cukup. Saya dah simpan dan baru saya buka kes.

"Nak lari mana? Pihak peguam untuk uruskan kes undang-undang ini pun sudah saya lantik. Saya akan berjuang untuk membela filem hak cipta syarikat saya dan tuntut ganti rugi pada mereka.

"Saya kena bangkit dan ambil tindakan saman ini sendiri untuk bela hak saya. Dalam bisnes, nak sewa apa tapak pun kena bayar dan dapatkan permit. Semua ada akta dan bukan boleh buat sesuka hati.

"Walaupun ada orang persoalkan tindakan saya kenapa nak bising-bising, apakah kerana filem saya itu sudah terjual puluhan juta? Saya tak peduli semua itu.

"Cakaplah apa pun, saya ambil tindakan sebab filem ini berkualiti dan bukan filem yang tangkap muat. Senang kata, bukan filem sampah. Saya sanggup berhabis wang buat penggambaran filem ini hingga ke luar negara di Eropah dengan pembiayaan sendiri sepenuhnya.

Sementara itu, pemain e-dagang, Shopee, hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya memandang serius perkara itu.

Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho berkata, mana-mana penjual di dalam laman webnya akan diharamkan menggunakan platform berkenaan sekiranya didapati melanggar polisi yang telah ditetapkan.

"Shopee adalah platform penjualan pihak ketiga yang menyenaraikan barangan mereka untuk dijual. Penjual di Shopee adalah individu atau perniagaan bebas yang tidak berkaitan dengan kami dan Shopee tidak mempunyai bahagian dalam membuat kandungan senarai.

"Shopee juga mempunyai polisi penyenaraian yang ketat dan hanya membenarkan penjualan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan undang-undang di Malaysia," katanya.

Mengenai kes filem AADD, Ian pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung penjualan bahan cetak rompak menerusi platform itu.

Difahamkan, Shopee juga telah menyenarai hitamkan kata kunci berkaitan dengan filem itu bagi menghalang sebarang usaha menjual beli bahan berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Post a comment

0 Comments