Remaja 14 tahun rugi RM295,950 selepas ditipu gadis bernama 'Anis'

 

Seorang remaja lelaki berusia 14 mengalami kerugian sebanyak RM295,950 selepas diperdaya gadis yang dikenalinya melalui Facebook, dipercayai berkaitan dengan sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian itu bermula sejak Februari lalu di mana mangsa tertarik dengan iklan penjualan telefon di Facebook dipercayai milik suspek yang menggunakan nama Dea Anis atau Anis Anis.

Mangsa kemudian menghubungi suspek melalui nombor yang tertera pada iklan tersebut dan bermula dari situ mereka menjalinkan hubungan.

Difahamkan, mereka sering berhubung melalui WhatsApp dan bermain PUBG Mobile.

Namun selepas empat bulan kemudian, suspek menyuarakan keinginan untuk meminjam wang dan mangsa menunaikan permintaan gadis itu meskipun terpaksa menggunakan wang simpanannya dan meminjam wang daripada ahli keluarga lain.

Dalam tempoh 2 Mei hingga 20 Jun lalu, mangsa telah meminjamkan wang kepada Anis melalui 21 transaksi pindahan wang ke dua akaun bank yang diberi tetapi di atas nama individu lain.

Suspek juga berjanji akan membayar hutang itu tetapi sehingga kini dia gagal berbuat demikian.

Bapa mangsa yang menyedari anaknya telah ditipu bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Brinchang, Cameron Highlands semalam.

Polis kini sedang giat mengesan seorang lelaki yang merupakan pemilik nombor akaun yang digunakan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

Post a comment

0 Comments