Dihempas ke lantai gara-gara mintak air!

  

BERANG selepas anak perempuannya berusia tujuh tahun meminta air ketika sedang makan malam, seorang bapa bertindak di luar kawalan dengan menghempas kanak-kanak itu ke lantai dalam kejadian di Kampung Kroh Hilir, di Padang Rengas, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, dalam kejadian 8.20 malam itu, mangsa mengalami luka di dahi sebelah kiri selain bengkak di bahagian kepala selepas terkena bucu meja makan.

Beliau berkata, kejadian disedari isteri suspek berusia 40 tahun yang ketika kejadian sedang menguruskan jadual persekolahan anak-anaknya selepas terdengar suaminya memarahi mangsa sebelum disusuli jeritan dan tangisan.

"Suspek mendakwa mangsa sudah mengetuk kepalanya sewaktu dia sedang menikmati makan malam lalu membuatkannya marah. Siasatan awal mendapati suspek mengangkat lalu menghempas mangsa ke lantai sebanyak sekali.

"Sejurus kejadian suspek berusia 37 tahun itu melarikan diri namun berjaya diberkas di rumahnya 12 tengah hari semalam. Suspek baru sahaja dibebaskan dari penjara dua minggu yang lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ibu mangsa membawa kanak-kanak malang itu ke klinik sejurus kejadian namun dinasihatkan untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Kuala Kangsar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan Kanak-kanak.

"Pemeriksaan mendapati susupek yang juga seorang penganggur mempunyai lima rekod membabitkan kes dadah selain dua rekod jenayah," katanya.

Sumber : hmetro

Post a comment

0 Comments