“Insya-Allah wabak Covid-19 akan berlalu pergi dari bumi Malaysia”- Dr Zulkifli, Menteri Agama

 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan kata-kata penghargaan atas kluster terbesar COVID-19 negara, peserta perhimpunan di Sri Petaling yang diisytiharkan tamat semalam.

Beliau berkata demikian menerusi satu ciapan di laman Twitternya malam tadi.

“Alhamdulillah. Insya-Allah wabak COVID-19 akan berlalu pergi dari bumi Malaysia.

“Terima kasih kepada semua sahabat jamaah tabligh yang memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya, dalam ciapan tersebut.

Ucapan tersebut adalah respon kepada kenyataan KKM di Twitter pada semalam.

“Secara rasmi diisytiharkan kluster terbesar di negara kita, Kluster Perhimpunan di Masjid Sri Petaling tamat hari ini (semalam),” jelas kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, aktiviti pengesanan dan ujian saringan bagi kluster dan sub-kluster tersebut masih lagi diteruskan, termasuk pusat tahfiz dan madrasah.

“Sekiranya ada keperluan atau tanda-tanda berlaku peningkatan kes contohnya melibatkan jemaah tabligh, kita akan terus laksanakan saringan.

“Ketika ini KKM akan menjalankan saringan bersasar kepada kumpulan yang berisiko tinggi yang dikenal pasti dan lokaliti terlibat,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya semalam.

Mengimbas kembali, kes pertama yang dikesan dalam kluster itu adalah pada 11 Mac lalu, sebelum merebak sehingga lima generasi dengan mencatatkan lebih 3,375 kes positif dikesan dan 24 kematian dilaporkan.



Post a comment

0 Comments