Abang rentung, adik sempat selamatkan diri dalam kebakaran rumah dua tingkat

 

JIRAN kepada Allahyarham Ahmad Zulhilman Zakaria, 27, yang maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman Bukit Saga, Seksyen 26, Shah Alam, awal pagi tadi, kesal kerana gagal menyelamatkan mangsa.

Jiran mangsa yang dikenali sebagai Amin, 40, berkata, dia terdengar jeritan meminta tolong dan kaca pecah dari rumah mangsa pada 3.40 pagi yang mulanya disangka dimasuki pencuri.

"Saya dengar sayu bunyi jeritan tiga kali dan kaca pecah, masa itu api belum marak tetapi bila api marak, suara minta tolong itu senyap.

"Adik mangsa (Ahmad Hamizan Zakaria, 25,) sempat keluar dari rumah dan cakap pada saya, abangnya gagal diselamatkan.

"Adik mangsa berjaya selamatkan diri sebab dia tidur di tingkat bawah. Seekor kucing peliharaan mereka pun berjaya diselamatkan tetapi ada kucing mati berada di bilik arwah," katanya.

Amin berkata, dalam kekalutan itu, dia berusaha menghubungi bomba dan sementara bomba datang, dia dengan jiran lain cuba membantu memadam kebakaran.

"Kami cuba bantu padam guna air paip rumah. Saya kesal tidak dapat selamatkan mangsa. Saya tidak tahu macam mana nak buat, masa itu saya berdua dengan seorang lagi jiran. Kami hanya mampu melihat api semakin marak.


"Kami simpati sangat, tambahan ibu bapa mereka tiada di sini kerana bekerja di luar negara. Kami nak cuba naik ke rumah pun tak boleh sebab bahan panas api yang semakin marak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebaik menerima panggilan, tiga jentera dikerahkan membabitkan dua dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan sebuah dari BBP Kota Anggerik.

"Ketika bomba tiba, api sangat marak dan bomba dimaklumkan ada tiga mangsa tinggal di rumah itu, mangsa yang ditemui rentung ialah Ahmad Zulhilman manakala Ahmad Hamizan berjaya menyelamatkan diri manakala Ahmad Nazmi Zakaria, 21, disahkan berada di rumah rakannya," katanya.

Hafisham berkata, mayat Ahmad Zulhilman ditemui berada dalam keadaan sedang menuju ke arah bilik air dan belum sempat memasukinya.

"Punca kejadian masih dalam siasatan, api berjaya dikawal jam 5 pagi dan pemadaman sepenuhnya jam 6 pagi.

"Bahagian atas rumah teruk, terbakar sepenuhnya, kenderaan tiada yang terjejas. Rumah jiran hanya kesan jelaga hitam saja," katanya.

Beliau berkata, sebelum mengetahui situasi adik mangsa, Ahmad Nazmi, bomba menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) untuk mengesan mangsa.

"Kita menggunakan K9 bagi memastikan sebarang tanda-tanda mangsa terperangkap dalam kebakaran itu, K9 membuat pencarian keseluruhan dan didapati tidak ada tanda-tanda mangsa kedua.

"Kemudian kita dimaklumkan keluarga berjaya hubungi Ahmad Nazmi. Alhamdulillah, kita dapat mengetahui mangsa selamat dan berada di rumah rakan," katanya.


Sumber : hmetro 

Post a comment

0 Comments