Abang luah rasa geram, adik jadi mangsa Kluster Sivagangga

 

Baru-baru ini tular satu gambar seorang lelaki yang masih memakai tag gelang berwarna pink di sebuah restoran. Umum mengetahui tag gelang berwarna merah jambu merupakan individu yang perlu menjalani menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO). Namun lelaki tersebut dikatakan telah melanggar peraturan tersebut. Saringan ulangan ujian yang dilakukan, didapati lelaki tersebut telah didapati positif Covid-19.

Susulan itu, individu yang telah berkunjung ke restoran tersebut telah diminta untuk menjalani ujian saringan. Beberapa keping gambar tular juga menunjukkan orang ramai beratur menjalani ujian saringan.

Bukan sahaja isu di restoran tersebut, tampil seorang lelaki mendedahkan adiknya menjadi mangsa keadaan. Dikatakan tiga orang lelaki India yang bekerja di restoran berkenaan yang telah disahkan positif oleh KKM menaiki bas yang sama dengan adiknya. Ketika beliau menghubungi KKM, adiknya telah diminta untuk membuat ujian saringan dan menjalani kuarantin di rumah.

Adik aku dah jadi mangsa keadaan. Dia naik bas balik kampung dari Manjung ke Alor Setar pada Ahad lepas nak sambut Aidiladha dengan keluarga selama seminggu. Dari Stesen Bas Shahab Perdana, dia naik bas Mybas dari Alor Setar ke Changlun.

Sebelum naik bas, ada pengambilan suhu semua penumpang yang naik bas tanpa ada catatan nama dan nombor contact penumpang.

Menurut adik aku dalam bas tu ada tiga orang India, dua orang Myanmar, dua orang Cina dan dua orang Melayau termasuk adik aku.

Adik aku sepanjang perjalanan hampir sejam dari Alor Setar ke Napoh dia memang pakai penutup muka, dan duduk di barisan kerusi yang agak ke belakang, manakala tiga India tersebut berada di bahagian hadapan sembang dan mula buka mask (dua daripada tiga orang tanggal kan mask).

Sampai di Pekan Napoh, adik aku turun dari bas nak balik ke rumah. Tiga orang India tersebut turut turun. Lepas melintas jalan, tiga India tersebut terus masuk ke dalam kedai Restoran Nasi Kandar Salleh yang diviral baru baru ini pemiliknya langgar perintah kuarantin dan pengawasan di rumah.
Rupanya tiga India tersebut adalah tiga daripada empat pekerja restoran berkenaan (yang bukan warganegara) telah disahkan positif hari ni oleh KKM. Aku tanya adik aku berulang kali, tu mungkin mat bangla turun bas singgah nak minum ayaq ja kot. Adik aku kata dia memang tak salah tengok, tu memang pekerja restoran tu.

Saat tu perasaan aku bercampur baur, semua perasaan ada. Terus aku teringat kan mak aku di rumah, mak aku pengidap stroke ada tekanan darah tinggi dan kencing manis. Terus aku call talian 999 untuk minta penjelasan, sebab lepas pukul lima tadi pusat CPRC Kebangsaan dah tutup, aku diminta oleh operator talian 999 untuk call pusat gerakan PKD Kubang Pasu.

Terpaksa juga Google no bilik gerakan PKD, saat itu jam dah 6.30 petang, mujur panggilan aku diangkat dan dilayan. Doktor Atikah yang melayan panggilan aku dah bagi gambaran adik aku kena kuarantin wajib selama 14 hari yang kos kena tanggung sendiri sebab dikategorikan sebagai kontak rapat. Masya Allah.

Kata doktor itu lagi, perjalanan dari Alor Setar ke Napoh ambil masa agak lama ditambah pula keadaan bas yang ada aircond. Esok pagi adik aku kena hadir ke Klinik Kesihatan Napoh untuk buat ujian saringan pertama.

Jadi, sekarang ini aku nak kata apa? Nak marah kat India tiga orang tu? Nak marah Sivagangga tu kerana tak patuh arahan kuarantin? Nak luahkan perasaan tak puas hati kat Menteri? kerana kena tanggung kos kuarantin sendiri berbanding kluster kayangan yang dulu pernah kuarantin di hotel yang meluahkan rasa tak puas hati.

Aku tak marah sesiapa, tapi dalam kes ni memang adik aku antara yang jadi mangsa keadaan dan kesannya memang secara langsung kepada keluarga aku. Kami adik beradik kena pikiaq kaedah untuk kuarantin kan adik aku, jika bukan di Hotel Seri Malaysia yang menjadi pusat kuarantin seperti dimaklumkan doktor tadi. Aku terpaksa batalkan niat aku nak balik beraya dengan mak ayah aku buat sementara waktu. Sehinggalah adik aku tamat tempoh kuarantin. Aku kena pikiaq kan keadaan kesihatan mak dan ayah aku warga emas.

Maafkan daku, aku coretkan di sini, aku paparkan kisah ni supaya menjadi pedoman dan pengajaran buat kita semua supaya kita jaga diri kita patuh SOP sepenuhnya dan jaga jarak kita. Aku ber husnul dzon dalam hal ini, semuanya datang dari ketentuan Allah, dan aku doakan semuanya baik baik belaka.

Tolonglah raya ni kita pakat-pakat berkorban seorang sedikit, jangan kita seronok sangat nak raya, musuh yang tak nampak kembali menghantui di sekeliling kita. Kita jangan seronok, leka dan alpa.

Ya Allah, kami berlindung dengan mu daripada wabak dan penyakit yang berbahaya. Aamin Ya Allah.

Sumber: Mohd Shamsul Nizam, Cycle Design

Post a comment

0 Comments