‘Lindungi anak dari dunia luar’ - Ibu larang anak keluar rumah selama 26 tahun!

 

Seorang wanita yang berusia 42 tahun dilaporkan tidak pernah menjejakkan kaki luar dari rumah selama 26 tahun kerana ibunya tidak mengizinkannya.

Menurut media Rusia, sehingga bulan ini, wanita yang sihat tubuh badan itu tidak pernah meninggalkan rumah ibunya yang terletak di perkampungan Arefinsky, di barat Rusia sejak berusia 16 tahun.

Satu-satunya alasan untuk dia akhirnya menjejakkan kaki keluar adalah kerana ibunya itu jatuh sakit dan perlu dibawa ke hospital.

Untuk pertama kalinya dalam 26 tahun, dia tidak perlu lagi mendengar larangan ibunya itu yang dilaporkan ‘mengurungnya’ selama bertahun-tahun kerana mahu ‘melindunginya daripada bahaya dunia luar’.

Dia dilaporkan tidak pernah menukar pakaiannya serta tidak pernah membasuh rambutnya selama 12 tahun sehingga menyebabkan rambutnya itu membentuk menjadi gumpalan.

Menurut jiran mereka, ibu kepada wanita tersebut terlalu melindungi anak perempuannya itu, namun ianya menjadi sangat tidak terkawal selepas ibu kepada wanita itu mula bersara.

Wanita itu baru sahaja berada di kelas 8 ketika ibunya mula melarangnya untuk tidak keluar bersama remaja lain di kampung berkenaan. Dia telah berhenti daripada sekolah, dan ibunya itu mengusir sesiapa sahaja yang cuba untuk masuk campur urusan mereka.

Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui kisah bagaimana ibunya dapat membuatkan anaknya menerima kehidupan yang terasing itu. Namun orang ramai berpendapat bahawa gadis itu secara perlahan-lahan terbiasa dengan keadaan itu.


Selepas beberapa seketika, penduduk kampung pun berhenti berusaha untuk meyakinkan ibunya itu agar memberi lebih banyak kebebasan kepada anaknya dan meneruskan kehidupan mereka.

Baru awal bulan ini, ketika ibunya itu jatuh sakit dan perlu dimasukkan ke hospital, dia telah keluar dari rumahnya untuk pertama kali dalam 26 tahun.

Penduduk setempat terkejut apabila melihatnya, terutama sekali apabila mendapati bahawa dia kelihatan seakan tidak pernah mandi.

Setelah penduduk kampung membawanya kepada ketua dewan tempatan, Vasily Tovarnov, wanita itu mendedahkan bahawa dia tidak pernah mencuci rambutnya selama 12 tahun, tidak pernah menukar pakaiannya dan sudah bertahun-tahun makan makanan kucing serta berkongsi katil bersama ibunya dan kucing-kucing mereka.

Dia dikatakan tidak mahu mengubah gaya hidupnya itu dan setakat ini dia telah menolak semua pertolongan dengan menyatakan bahawa dia sudah terbiasa dan menyukai cara hidupnya sekarang.

Sumber: ODDITYCENTRAL

Post a comment

0 Comments