Kandang lembu rumah buat 5 beranak ini berteduh!

 

LIMA beranak dari Kampung Kuala Besar, Badang, di Kota Bharu terpaksa menjadikan kandang lembu tempat untuk mereka berteduh selepas rumah yang didiami terbakar sejak lapan tahun lalu.

Lebih menyedihkan lagi, kandang lembu yang dijadikan 'syurga' untuk mereka sekeluarga terlalu daif selain ada ruang yang terlalu sempit sehingga terpaksa menundukkan kepala setiap kali masuk ke dalam pondok.

Bahkan, lantai kayu yang suatu ketika dahulu tempat dijadikan pembuangan najis lembu kini dijadikan alas tidur mereka sekeluarga.

Nasarudin Mat Ali, 39, berkata, sebelum ini, dia bersama isteri, Nur Syazana Ali, 30, dan tiga anak mereka iaitu Mohamad Hakimi Nasarudin, 13; Nor Najwa Balkis, 8; dan Naufal Basri, 4, tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya sebelum rumah yang didiami mereka terbakar pada tahun 2012.

"Kebakaran itu menyebabkan hanya ruang dapur sahaja yang terselamat dan kejadian itu mendapat perhatian seorang wakil rakyat pada ketika itu dan membantu membina sebuah rumah yang selesa.

"Namun disebabkan rumah yang dibina itu mempunyai ruang yang agak terhad selain tidak mahu menyusahkan keluarga, saya mengambil keputusan untuk menjadikan kandang lembu milik arwah ayah sebagai tempat untuk kami lima beranak berteduh.

"Saya membaiki kandang lembu ini untuk dijadikan pondok bagi kami sekeluarga berteduh dari hujan dan panas matahari menggunakan kayu yang diambil daripada sisa rumah yang terbakar," katanya ketika ditemui, semalam.


Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang diwakili Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Mohd Norhisham Abdullah yang menyampaikan bantuan kecemasan berjumlah RM1,000 untuk membantu meringankan beban.

Nasarudin berkata, pondok yang didiami mereka sekeluarga itu juga tidak mempunyai kemudahan tandas dan setiap kali mahu membuang air besar atau kecil terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak kira-kira 40 meter (m) dari pondok pada masa sama bekalan elektrik juga disambungkan dengan rumahnya.

"Lebih membimbangkan saya dan isteri, pondok ini juga sudah tiga kali dimasuki haiwan berbisa seperti ular tedung selain terpaksa menahan sejuk jika hujan kerana pondok kami dimasuki air akibat atap bocor dan dinding berlubang.

"Sebelum ini, saya pernah memohon mendapatkan bantuan perumahan menerusi e-kasih, tetapi tidak tahu statusnya sehingga kini," katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, untuk menyara keluarga dia bekerja dengan adiknya yang mengambil upah memasang lantai mozek dengan pendapatan RM50 sehari, namun ia tidak menentu.

"Disebabkan pekerjaan mengambil upah memasang lantai mozek ini tidak selalunya ada, saya juga menjual air tebu untuk menampung keperluan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Mohd Norhisham berkata, pihaknya akan meneliti dan membuat semakan semula bantuan yang boleh disalurkan untuk membantu meringankan beban keluarga ini.

"Selain itu, pihak kami juga akan berbincang untuk mempertimbangkan bantuan persekolahan untuk dua anaknya yang masing-masing belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Latiff dan Pondok Gelang Mas, Pasir Mas," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Nasarudin Mat Ali di talian 017-9356578.


Sumber :HarianMetro

Post a comment

0 Comments