Wak Doyok mengaku tak bersalah guna lambang Sultan Johor, berdepan denda RM500k

 

Pelakon dan personaliti fesyen terkenal iaitu Mohd Azwan Md Nor atau lebih dikenali dengan nama Wak Doyok dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menggunakan lambang kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tanpa kebenaran bertulis daripada baginda.

Guna lambang Diraja Johor


Sebelum ini personaliti fesyen terkenal ini telah menempah dan membeli cincin dengan ukiran lambang peribadi Sultan Johor secara atas talian. Tindakannya itu kemudian mendapat maklum balas daripada Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim yang mempersoalkan tentang tujuan Wak Doyok menggunakan lambang diraja Johor itu.

Susulan daripada kejadian itu, Wak Doyok telah membuat permohonan maaf di akaun Instagram atas kesilapannya menyalahgunakan lambang peribadi institusi Diraja Johor.

Denda RM500,000


Kini menerusi laporan yang dipetik daripada Sinar Harian, Wak Doyok telah didakwa atas pertuduhan menggunakan lambang kemahkotaan Sultan Johor bagi tujuan persendirian. Dia walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. Difahamkan, personaliti fesyen terkenal yang melakukan kesalahan berkenaan pada 30 April lalu di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ini akan berdepan dengan hukuman denda sebanyak RM500,000.

Menurut sumber, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad sebelum ini telah menawarkan jaminan RM50,000 kepada tertuduh tetapi peguamnya meminta agar bayaran itu dikurangkan dan akhirnya pihak mahkamah mengenakan denda sebanyak RM35,000 kepada personaliti fesyen ini atas kesalahannya dengan seorang penjamin.

Sebutan kedua 15 Jun

Wak Doyok yang diwakili peguam, MN Halim Md Amin dan Syaffie Naim telah didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) enakmen yang sama. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda antara RM250,000 dan RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Sebutan kedua kes telah ditetapkan pada 15 Jun 2020 bagi penyerahan dokumen.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

Post a comment

0 Comments