Mangsa buli siber gantung diri selepas dikecam muat naik video tiktok bersama rakan

 

Buli siber atau cyber bullying adalah sesuatu yang patut dipandang serius oleh pengguna media sosial kini. Mungkin ada yang tidak sedar bagaimana tindakan mereka di media sosial boleh memberikan kesan yang mendalam kepada mereka yang menjadi mangsa.

Seorang gadis berusia 20 tahun menamatkan riwayatnya selepas menerima kecaman teruk di media sosial. Dia yang menjadi mangsa buli siber ini dikecam kerana video Tik Tok yang dirakamkan bersama rakan sekerjanya.

Terima kecaman


Menerusi laporan yang dipetik daripada Free Malaysia Today, mangsa yang dikenali dengan nama Thivyaanayagi Rajendran merupakan mangsa siber buli dan telah mendapat kecaman hebat daripada netizen selepas video TikTok bersama rakan sekerjanya telah viral di media sosial.

Dalam video itu memaparkan Thivyaanayagi dan lelaki Bangladesh tersebut cuba melakonkan satu adegan dalam sebuah lagu berbahasa Hindi. Niatnya hanyalah sekadar untuk suka-suka tetapi lain pula yang jadinya apabila dia sebaliknya telah dituduh menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki warga asing yang bekerja dengannya sebagai juruwang di 7-Eleven di Auto City, Juru.

Difahamkan, video TikTok tersebut telah dimuatnaik oleh rakan sekerjanya sebelum dimuatnaikkan semula oleh satu akaun Facebook Joker Oruvan dengan menulis kapsyen yang mengundang kecaman orang ramai.

Bagaimana gadis ini jatuh cinta dengan seorang Bangla…semua orang tentu merestui anda.

Sempat tinggalkan nota bunuh diri


Menurut pak cik mangsa iaitu K Sathyaseelan memberitahu, sebaik sahaja selepas video itu viral, Thivyaanayagi telah membuat laporan polis pada 19 Mei 2020 yang lalu berhubung dengan isu ini dan meminta pihak berkuasa untuk memadamkan kandungan tersebut di Facebook.

Kami kemudian menghantar satu mesej kepada pengendali laman itu meminta mereka memadamkan video itu. Pengendali itu meminta kami membuat rakaman video ‘mohon maaf’ jika mahu video itu diturunkan. Kami tidak tahu kenapa perlu minta maaf. Mereka biadab ketika kami minta mereka padam catatan itu.

Tidak tahan dengan cemuhan yang diterima, Thivyaanayagi nekad untuk mengakhiri hidupnya dengan menggantung diri. Kejadian tersebut disedari oleh abang mangsa, Taran pada jam 9.30 malam (19 Mei 2020) selepas adiknya itu masuk ke dalam bilik dan tidak menjawab panggilan telefon.

Taran kemudian memecah pintu bilik tersebut dan mendapati adiknya itu menggantung diri dengan dupatta (selendang) di lehernya. Mangsa sempat menulis nota dengan meminta maaf kerana telah ‘memalukan’ dan ‘merosakkan’ nama keluarga.

Sebab saya mengambil keputusan ini kerana Joker Oruvan memuat naik video saya ke Facebook dan merosakkan nama saya dan keluarga saya.

Perkongsian telah dipadamkan


Menurut kakak Thivyaanayagi iaitu Logeswari memberitahu, adiknya itu berasa sangat tertekan dengan komen negatif dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Walaupun kami mengetahui kebenaran hubungannya dengan lelaki itu dalam video itu, namun dia merasa sedih dengan hal-hal yang diperkatakan tentangnya.

Mangsa yang mengalami patah leher dan asfiksia disahkan meninggal dunia. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Menurut sumber, mangsa sudah bertunang dengan teman lelakinya selama 3 tahun dan mereka merancang berkahwin pada Disember ini.

Kami mahukan keadilan. Beliau hanya berusia 20 tahun. Mereka yang memuat naik catatan itu untuk mempersendakannya perlu dipenjarakan. Disebabkan serangan mereka, beliau mengambil nyawanya sendiri.

Difahamkan, perkongsian itu juga telah dipadamkan.

Sumber: Free Malaysia Today

Post a comment

0 Comments