Lelaki tendang rider Foodpanda dihadapkan ke mahkamah!

 

 LELAKI mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan pekerja penghantar makanan wanita di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Tertuduh, Hii King, 61, memohon kes dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ikhwan Mohd Nasir.

Lelaki itu hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Lim Tien Loong daripada Lim & Chia Advocates & Solicitors ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, kira-kira 9 pagi tadi.

Hii King hadapi dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan niat mengganggu kesantunan seorang wanita.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Shazleena Shazimi, 26, pada 18 Mei lalu, 4.10 petang di Jalan Puteri 9/1, Bandar Puteri Puchong.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, peguam bela, Tien Loong meminta ikat jamin dikurangkan kepada RM4,000 atas alasan tertuduh tidak bekerja sejak lapan tahun lalu dan mempunyai tanggungan tiga anak dengan seorang daripadanya adalah penuntut universiti.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ikhwan menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Ikhwan juga menetapkan syarat tambahan terhadap Hii King iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi yang terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau turut menetapkan 16 Jun nanti sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kejadian perselisihan faham antara pekerja penghantar makanan dengan seorang pemandu kereta di Jalan Puteri 9/1 Bandar Puteri, Puchong.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pemandu kereta terbabit memarahi mangsa kerana memotong kereta dipandunya ketika dia mahu membuat pusingan U di lokasi berkenaan.

Suspek turut menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa dan menendangnya beberapa kali sehingga mangsa terjatuh.


Dalam pada itu, dua rakaman video termasuk satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu tular di media sosial sejak petang kelmarin.
Sumber : Harian Metro

Post a comment

0 Comments