Pelajar, Tiga Rakan Jadi ‘Runner’ Terima Upah Seikhlas Hati

 

SEREMBAN, 7 April — Pelbagai cara dilakukan untuk mengisi masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dan ada antaranya menghasilkan pendapatan tambahan di samping membantu pihak-pihak yang memerlukan.

Seorang pelajar kolej tidak menyangka hasrat untuk mengisi masa ketika ‘bercuti’ di kampung, membuahkan ‘pendapatan sampingan’ apabila khidmat penghantaran atau ‘runner’ yang dimulakan hujung bulan lepas mendapat sambutan.

Menggunakan motosikal, Mohd Syafi Abd Hamri, 23, mengambil upah seikhlas hati untuk menghantar pesanan pelanggan, antaranya barangan keperluan, makanan dan ubat-ubatan di sekitar Rembau.

Pelajar Admal Aviation College Sepang, Selangor, yang pulang ke rumah keluarganya di Taman Pedas Perdana, Pedas, sebelum penguatkuasaan PKP lagi, memulakan khidmat itu dengan mengiklankannya di laman Facebook ‘Rembau Macam-Macam Ado’.

“Hari pertama saya iklankan, saya dapat tiga pelanggan…masuk hari kedua dan seterusnya pelanggan semakin ramai… saya panggil tiga lagi rakan saya untuk bantu di samping bantu mereka (rakan) untuk dapatkan pendapatan sampingan sebab saya tidak ambil apa-apa keuntungan pun kerana mereka (rakan) yang bekerja.

“Saya terfikir nak dapatkan kadar upah seikhlas hati dari pelanggan disebabkan waktu PKP ini bukan ada banyak belanja yang perlu dikeluarkan sebab itu saya hanya serahkan pada pelanggan berapa banyak upah mereka nak bagi.

“Syukur juga setakat ini upah yang saya dapat memang tidak pernah saya jangka,” katanya yang memulakan tugas setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Mohd Syafi berkata memandangkan ini merupakan pengalaman pertamanya menjadi runner, cabaran yang perlu ditempuhi adalah untuk memastikan barangan yang ditempah pelanggan tidak salah dan tepat.

“Kalau kita sendiri pun tidak suka kalau apa yang kita pesan, lain yang kita dapat… jadi untuk pastikan masalah ini tidak berlaku saya akan selesaikan pesanan pelanggan seorang demi seorang, ini juga saya pesan pada rakan-rakan runner saya yang lain… biar lambat asalkan betul,” katanya.

Sumber — BERNAMA

Post a comment

0 Comments